Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Muhammad Asri Haji Awang Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 18 April. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat Sesi Khas Wawasan Brunei 2035 yang berlangsung di Istana Nurul Iman, di sini.
Turut berangkat ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Mesyuarat berkenaan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman.
Pada mesyuarat berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga berkenan mengurniakan titah.
Mesyuarat Sesi Khas Wawasan Brunei 2035 antara lain membincangkan Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 secara terperinci bagi memastikan ia kekal relevan, 'adaptable' dan berdaya tahan dalam apa jua keadaan, khususnya dalam menangani cabaran ketidaktentuan geopolitik dan pergolakan di peringkat global.

